"Ubah taktik dengan menggunakan dua penyerang", itu cadangan penganalisis bola sepak negara, Asmawi Bakiri, terhadap pendekatan taktikal skuad Harimau Malaya untuk bertemu Thailand dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis ini.

Skuad negara menggunakan formasi 4-3-2-1 dalam tiga perlawanan terdahulu.

Menang ke atas Indonesia dalam aksi pertama, skuad negara bagaimanapun tewas dalam dua perlawanan berikutnya bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam.

Justeru, Asmawi berasakan perubahan taktikal adalah keperluan untuk pertemuan menentang Thailand.

"Mohamadou Sumareh dan Safawi Rasid antara individu penting yang perlu beraksi. Mereka juga perlu diberikan peranan yang berbeza berbanding mengisi slot sebagai pemain sayap kerana aspek menyerang amat penting ketika berdepan Thailand dalam usaha untuk memburu jaringan," katanya.

Cheng Hoe yang diminta mengulas mengenai cadangan itu menegaskan bukan senang untuk mengubah taktikal dalam masa singkat.

Enggan mengubah formasi berkenaan, Cheng Hoe kekal percaya pendekatan itu masih relevan buat Harimau Malaya untuk mendapatkan kemenangan.

"Beraksi dengan satu penyerang bukanlah satu isu yang besar kerana setiap pemain memiliki peranan masing-masing ketika menyerang untuk menghasilkan jaringan bagi pasukan Malaysia," katanya.