SEPANYOL 6 CROATIA 0

Croatia mengalami kekalahan terbesar dalam sejarah mereka selepas Sepanyol membelasah finalis Piala Dunia itu 6-0 dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA di Estadio Manuel Martinez Valero, awal pagi tadi.


Marco Asensio menjaringkan satu gol dan membantu menghasilkan empat lagi jaringan buat skuad kendalian Luis Enrique itu tatkala segalanya tampak tidak menjadi buat Croatia di Elche.

Saul Niguez menanduk masuk gol pertama sebelum Asensio melepaskan dua rembatan padu, yang menyaksikan percubaan kedua dikira sebagai gol sendiri selepas terkena kaki Lovre Kalinic.

Croatia yang turun sambil Ivan Rakitic menikmati penampilan ke-100 tampak sukar memberi cabaran buat lawan sambil tuan rumah menambah tiga gol lagi selepas rehat menerusi Rodrigo Moreno, Sergio Ramos dan Isco.

Kekalahan itu merupakan jumlah terbesar yang pernah dilalui Croatia, di mana pertama kali dan detik terakhir mereka ditewaskan dengan jaringan besar ialah sewaktu tunduk 5-1 di tangan England pada 2009.

Ivan Santini dan Ivan Perisic terlepas peluang awal sebelum Sepanyol membuka tirai jaringan menerusi Saul yang menanduk masuk bola hasil hantaran lintang Dani Carvajal.

Sebelum rehat, keadaan menjadi lebih buruk buat Croatia apabila Asensio mencipta dua gol yang tidak akan dilupakan dalam masa dua minit.

Jaringan pertama Asensio hadir menerusi rembatan dari jarak 25 ela sambil Kalinic dilihat tertepis bola yang melencong ke gawang untuk menjadikan kedudukan 3-0.

Pengendali Croatia, Zlatko Dalic, jelas begitu resah dengan persembahan anak-anak buahnya tetapi emosinya terus dipermainkan selepas empat minit permainan bersambung, kali ini giliran Rodrigo yang melepaskan diri daripada perangkap ofsaid untuk menyempurnakan bola hantaran Asensio.

Pemain sayap Real Madrid itu mencatat bantuan jaringan kedua dalam aksi itu, tiga minit sebelum aksi berusia sejam apabila sepakan sudut yang dilakukannya disudahkan oleh Ramos menerusi tandukan ke dalam gawang.

Detik gemilang Sepanyol itu dilengkapkan dengan gol keenam daripada Isco yang mengutip bola hantaran Asensio sebelum melepaskan tendangan yang menewaskan Kalinic.