Bintang muda Real Madrid, Marco Asensio, membuktikan keunggulannya apabila menjaringkan hatrik untuk membantu Sepanyol membenam Macedonia 5-0 dalam perlawanan pertama kumpulan B, Kejohanan Eropah Bawah 21 Tahun di Stadium Gdynia, Poland, semalam.

Asensio yang masih segar dengan kejayaan menjuarai Liga Juara-Juara Eropah 2016/17 mempamerkan aksi yang cukup bertenaga buat skuad muda La Roja.

Gol pertama Asensio dijaringkan pada minit ke-16 apabila melepaskan rembatan padu dari jarak 30 ela untuk memerangkap penjaga gol lawan, Igor Aleksovski, enam minit selepas Saul menjaringkan gol pembukaan buat Sepanyol.

Gerard Deulofeu menjadikan 3-0 menerusi sepakan penalti ketika permainan babak pertama berbaki 10 minit, namun Asensio membuktikan kewibawaannya sebaik sahaja bermula separuh masa kedua.

Dia memperdayakan pertahanan Macedonia, Krste Velkoski, sebelum sekali lagi melepaskan rembatan kaki kiri yang tepat ke penjuru kiri gol lawan untuk menjadikan kedudukan 4-0 pada minit ke-54.

Menyertai Madrid dengan nilai perpindahan hanya EUR3.9 juta dari Mallorca pada Disember 2014, pemain berusia 21 tahun itu melengkapkan hatrik pertama dalam kejohanan kali ini apabila sepakannya dari luar kota penalti terus menerjah ke jaring untuk melengkapkan kemenangan besar 5-0 buat Sepanyol.

Asensio turut menjaringkan gol dalam aksi pertamanya bersama Madrid ketika menentang Sevila dalam perlawanan Piala Super Eropah, Ogos lalu.