ASEAN berpotensi menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA 2034, kata Presiden Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF), Mejar Jeneral Khiev Sameth.

Ketika menyandarkan sokongan AFF bagi bidaan bersama Piala Dunia 2034, Sameth berkata ASEAN akan menjana faedah ekonomi dan sukan apabila mengendalikan acara bertaraf dunia itu di samping mampu mengeratkan hubungan dalam kalangan 640 juta orang di rantau ini.

“Ia sentiasa menjadi pendirian kami bahawa ASEAN, yang secara kolektif ekonomi ketiga terbesar di Asia dan ketujuh terbesar di dunia, mempunyai potensi untuk menjadi tuan rumah dengan jayanya bagi Piala Dunia.

“AFF akan mendapatkan pihak berkepentingan dan melihat kemungkinan melakukan bidaan untuk hak menjadi tuan rumah di samping mengambil kira faktor utama, termasuk keperluan minimum yang telah ditetapkan untuk pertandingan, garis masa dan pertimbangan lain,” katanya.

Semalam, Pengerusi ASEAN, yang juga Perdana Menteri Thailand, Jen Prayuth Chan o-cha, dalam Persidangan ASEAN Ke-34 di Bangkok, mengumumkan bahawa semua negara anggota ASEAN bersetuju untuk mengemukakan satu bidaan bersama bagi menjadi tuan acara bola sepak terbesar di dunia itu.

Idea untuk menjadi tuan rumah bersama kali pertama diusulkan oleh Jepun dan Korea Selatan, yang berjaya menganjurkan Piala Dunia pada 2002.

Dengan kejohanan itu akan diperbesarkan daripada 32 pasukan kepada 48 pasukan pada 2026, kejohanan itu akan dianjurkan bersama oleh tiga negara buat kali pertama, iaitu Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.

Qatar akan menjadi tuan rumah bagi edisi 2022, hanya kali kedua di benua Asia sejak Uruguay menjadi hos edisi sulung pada 1930.

-- BERNAMA