Mikel Arteta menyifatkan keyakinannya untuk Arsenal menandatangani pemain baru bulan ini adalah '50-50' tetapi yakin Pierre-Emerick Aubameyang tidak akan meninggalkan kelab itu.

Calum Chambers mengalami kecederaan serius manakala Arsenal bakal turun tanpa David Luiz yang digantung perlawanan selepas dilayangkan kad merah ketika berdepan Chelsea, yang menyaksikan Arteta ketandusan pemain pertahanan.

The Gunners telah dikaitkan dengan pemain Shakhtar Donetsk, Mykola Matvienko dan pemain Paris Saint-Germain (PSG), Layvin Kurzawa, walaupun Arteta enggan memberikan nama yang spesifik menjelang pertemuan pusingan keempat Piala FA berdepan Bournemouth.

Pengurus itu mengakui Arsenal sedang berusaha mendapatkan pemain pertahanan tetapi tidak pasti mengenai kehadiran pemain baru bulan ini.

"Saya tidak membincangkan perkara ini secara umum," katanya. "Ia seharusnya dilakukan secara dalaman dan jika kami memiliki berita, kami akan berhubung dengan anda.

"Buat masa ini, saya masih lagi 50-50 kerana jendela perpindahan bulan ini agak rumit. Saya hanya mendapatkan pemain yang benar-benar menyesuaikan diri dengan pasukan."

Salah satu perpindahan yang tidak mahu disaksikan oleh Arteta adalah Aubameyang ke Barcelona selepas terdapat laporan bahawa gergasi LaLiga itu berminat mendapatkan khidmat pemain kebangsaan Gabon itu.

Menerusi laporan media Sepanyol minggu ini, Aubameyang terbuka untuk berhijrah, namun ia tidak benar, menurut apa yang difahami oleh Arteta.

"Berdasarkan pengetahuan saya, seminggu lalu, sejak perlawanan di laman sendiri, kami telah berbincang dan dia gembira bersama pasukan.

"Aubameyang tidak bersetuju dengan media dan mempunyai masa depan di sini."



Editor: Ammar Hakim