Arsenal perlu memberikan masa kepada Unai Emery dan percaya dengan diri sendiri, menurut bekas pemain pilihan Stadium Emirates, Santi Cazorla.

Pengendali Gunners, Emery, berada di bawah tekanan dalam musim keduanya bagi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), dengan pasukan -- yang terlepas saingan Liga Juara-Juara (UCL) -- kini di tangga keenam selepas 12 perlawanan, ketinggalan lapan mata bagi mengejar slot empat pasukan terbaik.

Arsenal tanpa sebarang kemenangan dalam lima perlawanan setakat ini manakala Granit Xhaka telah dilucutkan jawatan selaku kapten pasukan sementara Mesut Ozil gagal menemui corak permainan konsisten.

Cazorla, yang memenangi dua Piala FA sepanjang enam tahun bersama Arsenal, menggesa semua pihak supaya bersabar dengan Emery dan berkata Arsenal sudah memiliki "segala-galanya" untuk berjaya.

"Unai Emery seorang jurulatih berkualiti dan Arsenal dibarisi pemain-pemain berkualiti," katanya kepada Independent. "Saya telah banyak menyaksikan perlawanan Arsenal, saya percaya Emery perlu diberikan masa.

"Ini merupakan generasi baru dan sukar untuk bersaing dengna pasukan seperti Manchester City dan Liverpool.

"Arsenal memiliki pemain, penyokong, stadium -- mereka memiliki segala-galanya untuk berjaya, namun mereka harus mempercayainya."

Cazorla meninggalkan Arsenal untuk menyertai bekas kelab, Villarreal, tahun lalu selepas direhatkan ekoran kecederaan. Ia bermakna dia tidak berpeluang untuk mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong The Gunners.

Pemain berusia 34 tahun itu berharap untuk mendapatkan peluang kembali bersama kelab London itu sebelum bersara serta terbuka untuk mengambil peranan bersama pasukan selepas menggantung butnya.

"Ketika bersama kelab seperti Arsenal, kadangkala dia tidak sedar apakah maksudnya berada di sini sehinggalah anda berhijrah, saya tidak berpeluang untuk mengucapkan selamat tinggal.

"Saya mahu beraksi di Stadium Emirates sebelum saya bersara.

"Saya tidak tahu apa yang bakal saya lakukan selepas ini -- mungkin menjadi jurulatih, mungkin pengarah sukan -- tetapi saya mahu kembali ke Arsenal."