Arif, Syazwan akui skuad negara belum sedia untuk Sukan SEA

Oleh Staff Writer 8 Februari 2017 6525
Arif, Syazwan akui skuad negara belum sedia untuk Sukan SEA
Dua pemain skuad bawah 22 tahun negara, Arif Anwar dan Syazwan Zaipol Bahari, menerima hakikat bahawa pasukan negara masih jauh daripada bersedia untuk menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur selepas tewas 0-3 di tangan Vietnam di Stadium Thong Nhat, malam tadi.

Arif, yang juga penyerang Kuala Lumpur, mendapat peluang diturunkan pada separuh masa kedua dalam perlawanan persahabatan itu.

Tetapi dia tidak berdaya menunjukkan sebarang impak kepada jentera serangan negara yang gagal memberikan sebarang ancaman kepada kubu tuan rumah.

Mengakui sedikit kecewa, Arif berharap pengalaman di Bandaraya Ho Chi Minh itu mampu dijadikan iktibar buat dia dan rakan-rakan sepasukan.

"Kami dapat belajar dengan pengalaman menentang Vietnam, untuk digunakan dalam perlawanan akan datang. Vietnam adalah pasukan yang kuat," kata Arif.

Dalam pada itu, Syazwan yang digandingkan bersama Adib Zainuddin juga beraksi longlai apabila kerap ditewaskan oleh kepantasan pemain lawan.

Begitupun, pemain PKNP FC itu sama sekali tidak patah semangat, sebaliknya yakin skuad negara mampu menyaingi Vietnam jika pasukan melakukan persiapan lebih rapi.

"Sekarang ini, kami jarang berkumpul. Maka sukar untuk kami membentuk keserasian seperti yang jurulatih mahukan. Tetapi kami akan cuba beraksi lebih baik untuk perlawanan akan datang, " kata Syazwan.

Selepas ini, skuad bawah 22 tahun negara akan beraksi dalam Piala Dubai di Emiriah Arab Bersatu (UAE), bulan depan.

Skuad bimbingan Frank Bernhardt akan memulakan saingan itu dengan menentang China pada 20 Mac, sebelum bertemu Arab Saudi tiga hari kemudian dan seterusnya berdepan Jordan, 26 Mac.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen