Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni, memuji buah tangan Gerardo Martino sambil menjangkakan ujian sukar apabila pasukannya menghadapi Mexico di Texas, pagi esok.

Kedua-duanya memulakan kerjaya dengan mewakili kelab Argentina, Newell's Old Boys, dan sejak itu, mereka telah beralih ke bidang pengurusan.

Martino membimbing Argentina dalam dua final Copa America sebelum melepaskan jawatan pada Julai 2016 dan beliau kini mengemudi kelab Mexico yang beraksi dalam kancah Amerika Syarikat (AS), Atlanta United.

Scaloni menganggap Martino sebagai "idola" di Newell's Old Boys dan masih memandang tinggi terhadap jurulatih berumur 56 tahun itu.

"Saya pernah bergandingan dengan Martino di Newell's," katanya kepada pemberita menjelang perlawanan persahabatan di AS itu.

"Beliau sudah berada di sana ketika saya baru memulakan kerjaya di sana. Bagi saya, beliau merupakan idola kelab dan masih kekal begitu.

"Beliau merupakan rujukan seumur hidup dan menjadi panduan kepada kami yang bermula di bahagian bawah dan berpeluang untuk melakukannya.

"Dia mempunyai idea yang sangat jelas tentang corak permainan yang diterapkannya dan adalah sangat penting untuk menentang pasukan sebegini. Saya yakin mereka akan menjadi pasukan yang sangat sukar untuk dihadapi oleh mana-mana pasukan.

"Sebagai kakitangan kejurulatihan yang memantau semua pasukan, kami sukakan beberapa perkara mengenai Mexico. Kami mempunyai persamaan, iaitu untuk menerajui pasukan."

Tanpa Lionel Messi yang digantung perlawanan, skuad Albiceleste itu mencatat seri tanpa gol dengan Chile dalam perlawanan pertama mereka sejak mengalahkan lawan yang sama untuk meraih tempat ketiga Copa America.

Scaloni memberi isyarat untuk merombak kesebelasan utamanya ketika menentang pasukan dengan jolokan El Tri itu sambil menyeru pemainnya untuk terus menguasai bola.

"Pada suatu ketika sewaktu bertemu Chile, kami kehilangan penguasaan permainan," katanya.

"Mexico gemar menyimpan bola, begitu juga dengan kami. Lebih banyak kawalan yang kami ada adalah lebih baik. Ia akan mengambil masa. Ia berfungsi, cuma kami berdepan kerumitan apabila berdepan lawan lebih sukar.

"Terdapat tiga pemain yang saya tunggu sehingga hari ini (untuk memutuskan penglibatan mereka). Saya tidak mahu mereka diturunkan jika mereka tidak berada di tahap 100 peratus.

"Jika saya fikirkan tentang kemenangan, maka penyenaraian pemain kali ini pastinya akan berbeza. Dalam masa sama, kami pasti akan mengetepikan pemain muda yang berpotensi untuk diketengahkan.

"Keputusan minggu ini akan menjadi soal kedua. Perlawanan-perlawanan ini akan menguji kami untuk melihat di mana kedudukan kami. Kami akan mengekalkan corak permainan."