Pemain tengah Argentina, Javier Mascherano, berkata pasukannya perlu berdoa terhadap takdir mereka dalam Piala Dunia Russia susulan kekalahan kepada Croatia, awal pagi tadi.

Anak buah Jorge Sampaoli itu dibelasah 3-0 menerusi gol Ante Rebic, Luka Modric dan Ivan Rakitic yang menyaksikan Croatia menguasai Kumpulan D dengan penuh keyakinan.

Keputusan itu meninggalkan Argentina dengan hanya satu mata di peringkat kumpulan dan nasib mereka kini bergantung kepada keputusan lain.

Mascherano, 34, berkata tumpuan akan terarah kepada pertembungan Iceland dengan Nigeria malam ini.

"Apabila takdir tidak memihak lagi kepada anda, anda perlu cuba berdoa dan mendapatkan keputusan positif sambil berharap anda dapat mengubahnya," katanya.

"Sehingga detik itu (malam ini), kita tidak akan tahu sejauh mana peluang kami untuk layak, kita akan lihat."

Walaupun Croatia sudah melepasi peringkat kumpulan, Iceland -- yang mengikat Argentina dalam aksi pembukaan -- boleh mengambil langkah besar untuk maju ke pusingan 16 dengan mengalahkan Nigeria.

Awal pagi tadi, Argentina dibolosi tiga gol dalam babak kedua susulan kesilapan penjaga gol, Willy Caballero.

"Amat sukar untuk menganalisis permainan ini kerana akibatnya sangat hebat," kata Mascherano.

"Bukan masanya untuk kami menganalisis apa-apa."