Persatuan Bolasepak Argentina (AFA) mengumumkan Jorge Sampaoli tidak akan dilanjutkan khidmatnya selaku ketua jurulatih selepas kempen Piala Dunia yang kacau-bilau.

Kekalahan 0-3 kepada Croatia di peringkat kumpulan meletakkan Argentina di ambang penyingkiran awal yang memalukan di Russia sebelum meloloskan diri ke peringkat kalah mati hasil kemenangan 2-1 ke atas Nigeria.

Tuah yang sama gagal diulangi dalam pusingan 16 menentang Perancis apabila ditewaskan 4-3 oleh Les Bleus yang kesudahannya muncul juara.

Sampaoli mendapat kepercayaan mengemudi Argentina selepas membina reputasi teguh ketika membimbing Universidad de Chile, Chile dan Sevilla, dengan meninggalkan kelab Sepanyol itu pada penghujung musim 2016-17 selepas memacu mereka ke saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Mengambil kira rasa hormat ramai terhadap Sampaoli, terdapat keyakinan tinggi dia akan menamatkan tempoh hambar Argentina dan akhirnya menemui keseimbangan di antara mengerah yang terbaik daripada Lionel Messi dan menjadikan La Albiceleste sebuah pasukan berjaya.

Namun, tidak banyak yang memihak Sampaoli dan Argentina sejak dia mengambil alih pada Mei 2017, dengan perubahan taktikal berterusan dan pemilihan anehnya membingungkan ramai.

Sepanjang kempen Piala Dunia, kekurangan Argentina di bahagian tengah dan pertahanan berlanjutan dieksploitasikan hingga ada kalanya dirobek-robekkan oleh Perancis, yang mengambil kesempatan sepenuhnya terhadap kekurangan kepantasan lawan tapi Sampaoli gagal membuat pengubahsuaian untuk menangani masalah berkenaan.