Argentina, Chile, Paraguay dan Uruguay bersetuju untuk bidaan sebagai tuan rumah bersama Piala Dunia 2030.

Presiden Chile, Sebastian Pinera, mengumumkan perancangan itu melalui media sosial semalam di samping Uruguay yang membuat tawaran untuk menjadi tuan rumah kejohanan berprestij terbabit sejak kali terakhir menganjurkannya pada 1930.

Maghribi, Sepanyol, dan Portugal telah memberi isyarat bahawa mereka berminat untuk menjadi tuan rumah bersama termasuk Greece, Bulgaria, Serbia dan Romania.

Begitupun, kedua-dua usaha itu akan menghadapi saingan dari Amerika Selatan selepas Pinera mengesahkan perbincangan tersebut sudah mencapai kata sepakat dalam kalangan pemimpin rantau itu.

"Presiden Argentina, Mauricio Macri, Sebastian Pinera (Chile), Mario Abdo (Paraguay) dan Tabare Vazquez (Uruguay) bersepakat untuk menyampaikan hasrat untuk penganjuran bersama Piala Dunia 2030," tulis Pinera di Twitter.

"Barisan presiden melalui empat persatuan bola sepak memutuskan untuk memaklumkan perkara ini kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan selepas menyampaikan hasrat ini kepada Konfederasi Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL), ia bertujuan untuk meraikan ulang tahun ke-100 penganjuran Piala Dunia yang pertama oleh Uruguay pada 1930.

"Beberapa bulan lalu, saya ada mencadangkan kepada presiden Argentina, Uruguay dan Paraguay untuk bergabung bersama-sama Chile bagi permohonan penganjuran Piala Dunia 2030.

"Cadangan ini disambut baik oleh tiga negara, termasuk Chile. Selepas Piala Dunia 1962, Chile akan mendapat peluang baru."

Kali terakhir Argentina menjadi tuan rumah Piala Dunia adalah pada 1978 yang menyaksikan mereka muncul juara di tanah air sendiri sementara Paraguay belum pernah menganjurkannya.

Presiden Uruguay FA, Wilmar Valdez, sebelum ini berhasrat untuk menganjurkan temasya itu bersama-sama Argentina.

Piala Dunia 2022 akan diadakan di Qatar, dengan Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada akan menjadi tuan rumah bersama empat tahun kemudian.