Apek: Rezeki anak ketiga  

Oleh Farizal Yusoff 15 Mac 2018 10580
Apek: Rezeki anak ketiga  
Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat atau Apek, bersyukur sambil menganggap panggilan yang diterima untuk menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya sebagai rezeki yang tidak diduga ketika dia dan keluarga sedang menanti kehadiran anak ketiga.
 
Katanya, panggilan itu adalah satu penghormatan kepada dirinya selepas sekian lama tersisih akibat kecederaan dan kemerosotan prestasi.
 
“Alhamdulillah, rezeki kami sekeluarga. Tambahan pula, isteri saya (Nur Eilunie Natasha Jaafar) sedang hamil enam bulan dan anak ketiga ini dijangka lahir  bulan Jun depan.
 
“Terima kasih kepada Tan Cheng Hoe (jurulatih negara) kerana memilih saya untuk menyertai kem latihan bermula Ahad ini,” katanya.
 
Ditanya mengenai persaingan merebut posisi penjaga gol utama negara, Apek jelas tidak mempunyai sebarang masalah dan yakin prestasi terbaik semasa latihan mampu menjadi pertaruhan untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama.

“Tidak ada masalah dan tiada sebarang tekanan untuk bersaing secara positif dengan dua penjaga gol muda, Haziq (Nadzli) dan Hafizul Hakim (Khairul Nizam)  bagi merebut posisi nombor satu.
 
“Mungkin sesi latihan dan aksi persahabatan menentang Mongolia pada 22  Mac ini menjadi penentu siapa yang bakal dipilih,” katanya.
 
Untuk rekod, kali terakhir Apek menyarung jersi kebangsaan ialah dalam Kejohanan Piala AFF Suzuki di Filipina, dua tahun lalu.

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen