Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat, mengakui kesilapan sendiri melepaskan gol mudah pada minit-minit akhir menjadi punca kegagalan The Red Warriors (TRW) menjulang kejuaraan apabila kalah 3-4 kepada kelab Thailand, Ratchaburi FC, dalam Piala Super Boost SportsFix di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam kelmarin.

Khairul Fahmi yang lebih dikenali sebagai Apek berkata jaringan itu terhasil akibat kesilapannya gagal mengeluarkan bola hantaran lintang pemain Ratchaburi FC, sekali gus menyebabkan TRW kempunan merangkul kejuaraan dalam saingan tiga penjuru itu.

“Saya mohon maaf kepada rakan sepasukan dan penyokong setia akibat kesilapan yang tidak disengajakan.

“Memang cukup kecewa tetapi saya anggap sebagai pengajaran berguna buat saya dan pasukan bagi menghadapi saingan yang lebih mencabar dalam Liga Super bulan depan,” katanya.

Dalam saingan yang cukup menarik itu, kesilapan bekas penjaga gol kebangsaan itu yang tertumbuk bola hantaran lintang pemain sayap Ratchaburi FC, Sila Srikampang, pada minit ke-89 menjadi pemisah kemenangan kelab dari Thailand itu.

Sebelum itu, Kelantan yang hanya memerlukan seri untuk menjulang kejuaraan dikejutkan dengan jaringan awal pemain Ratchaburi FC, Kang Soo- il.

Kelantan menyamakan kedudukan melalui pemain tengah kreatif, Do Dong-hyun, pada minit ke-20 untuk mengikat kedudukan 1-1 sebelum Ratchaburi mendapatkan gol kedua melalui penyerang, Narakorn Noomchan-sakul.

Ratchaburi terus mengganas dalam babak kedua apabila mendapatkan gol ketiga pada minit ke-54 untuk menjadikan kedudukan 3-1.

TRW kembali bernyawa apabila penyerang utama, Bruno Lopes dan Ferdinand Sinaga, menjaringkan dua gol berharga bagi mengikat kedudukan 3-3.