Bintang Perancis, Antoine Griezmann, berbangga selepas berada di podium anugerah Ballon d'Or tetapi menyatakan rasa terkejut tidak diumumkan sebagai pemenang.

Griezmann memenangi Liga Europa dan Piala Dunia bagi tahun 2018 dan penyerang itu mempamerkan prestasi cemerlang bersama Atletico Madrid dan Les Bleus.

Namun, dia menduduki tempat ketiga menerusi undian untuk Ballon d'Or tatkala Cristiano Ronaldo di tempat kedua dan Luka Modric muncul wakil Croatia pertama memenangi anugerah itu.

"Saya dapati anda tidak perlu pulang ke rumah bersama saya dalam dua hari pertama," kata Griezmann berjenaka.

"Ia satu penghargaan untuk berada di podium dan bergelar juara dunia.

"Saya mencabar rakan sepasukan di kelab dan skuad kebangsaan untuk berada di tempat Modric satu hari nanti.

"Saya memenangi Liga Europa dan Piala Dunia. Apa lagi yang perlu dilakukan? Saya tidak tahu."

Bintang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe, terlepas kedudukan tiga terbaik setelah menempatkan diri di tempat keempat, namun dia dinamakan sebagai pemenang anugerah perdana Trofi Kopa.

Namun, dia tidak kecewa dengan kegagalan berada dalam kelompok tiga terbaik itu.

"Rasa kecewa? Berdasarkan tempat asal saya, ia tidak jadi masalah," ujar Mbappe.

"Dalam jangka masa pendek, saya berada di kedudukan ketujuh (2017) dan kini keempat. Tiga pemain yang berada dalam tiga terbaik sememangnya layak.

"Saya perlu bekerja lebih keras di masa akan datang."