Anwar selesa ke Indonesia tanpa tekanan tinggi

Oleh Staff Writer 18 Oktober 2018 833
Anwar selesa ke Indonesia tanpa tekanan tinggi
Pertahanan skuad B-19 negara, Anwar Ibrahim, gemar dengan situasi tidak banyak perhatian diberikan peminat terhadap pasukannya kerana mampu mengurangkan tekanan dalam menghadapi Kejohanan AFC yang akan bermula Sabtu ini.

Skuad B-19 berlepas ke Indonesia semalam tanpa diketahui ramai peminat negara, malah tidak banyak pihak meletakkan harapan tinggi skuad itu mampu melangkah jauh.

Bagaimanapun, keadaan itu bukan sesuatu yang dikhuatiri oleh Anwar dan rakan sepasukan, sebaliknya ia mengundang satu hikmah tersendiri kepada skuad bimbingan Bojan Hodak itu sepanjang menghadapi kejohanan berkenaan.

"Untuk saingan B-19, ia tidak seperti aksi B-16 atau B-23. Tekanan tidak begitu tinggi daripada peminat," katanya.

Anwar sering kali menjadi pilihan Hodak selaku pertahanan kanan sepanjang Kejohanan AFF sebelum ini, namun dia kini mendapat saingan Feroz Baharudin.

Justeru, dia yang kini beraksi bersama Felda United tidak rela terlepas walaupun satu perlawanan dalam Kejohanan AFC demi membantu skuad negara mencipta kejutan di Indonesia.

"Saya tidak akan melepaskan peluang dalam kejohanan ini dan berharap dapat beraksi dalam setiap perlawanan.

"Sebelum ini, posisi saya tiada saingan dan jurulatih juga sukar membuat keputusan."

Skuad negara akan membuka langkah dalam saingan Kumpulan D bertemu Arab Saudi di Stadium Patriot Candrabhaga, Bekasi, Sabtu ini.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen