Lionel Messi menewaskan Cristiano Ronaldo untuk meraih Anugerah Gol Terbaik UEFA musim 2018-19.

Kapten Barcelona itu menduduki tempat pertama undian dalam laman web rasmi Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) selepas melakukan sepakan percuma gemilang ke atas Liverpool dalam separuh akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah di Camp Nou.

Ronaldo menduduki tempat kedua selepas menjaringkan gol buat Juventus ke atas bekas pasukannya, Manchester United, dalam perlawanan peringkat kumpulan manakala pemain tengah Porto, Danilo Pereira, meraih tempat ketiga hasil jaringan larian solonya ketika membantu Portugal menentang Serbia, Mac lalu.

Ia merupakan kali ketiga sepanjang lima musim terakhir ini Messi menerima anugerah berkenaan selepas mendapat pengiktirafan sama pada 2015 dan 2016.

Mario Mandzukic turut meraih anugerah itu hasil jaringan voli gemilangnya dalam final Liga Juara-Juara pada 2017 manakala Ronaldo dinobat pemenang tahun lalu menerusi jaringan akrobatiknya ke atas majikan terkininya, Juventus.

Hanya gol daripada pasukan di bawah naungan UEFA atau perlawanan antarabangsa sepanjang musim 2018-19 layak dicalonkan, dengan panel pakar UEFA akan memilih setiap gol yang tersenarai pendek sebelum diundi oleh juri awam.

Jaringan Messi itu, bagaimanapun, gagal membawa Barca ke final selepas pasukan itu tewas 0-4 dalam separuh akhir kedua di Anfield dan 3-4 secara agregat.