Luka Modric melabelkan kejayaannya merangkul Anugerah Pemain Lelaki Terbaik Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebagai "impian menjadi kenyataan" selepas dia mengatasi saingan daripada Mohamed Salah dan Cristiano Ronaldo.

Bintang Real Madrid, Modric, menjulang gelaran itu dalam satu majlis di London awal pagi tadi setelah menikmati musim 2018 dengan memenangi gelaran juara Liga Juara-Juara (UCL) ketiga di samping Los Blancos sebelum membantu Croatia mara ke final Piala Dunia di Russia.

Modric menerima 29.05 peratus undi -- hampir 10 peratus lebih tinggi daripada pemenang tempat kedua, Ronaldo -- untuk malam yang indah buat bekas pemain Tottenham Hotspur berkenaan yang turut dinamakan dalam kesebelasan pilihan FIFPro.

Bercakap kepada saluran rasmi YouTube FIFA, pemain berusia 33 tahun itu mengakui terpegun dengan sokongan dan pengiktirafan yang diterimanya.

"Saya sangat bangga dan dihargai, ini malam yang istimewa untuk saya dan detik istimewa dalam kerjaya saya. Ini adalah hari yang menyeronokkan," katanya.

"Terdapat ramai calon hebat untuk memenanginya, ia membuatkan anda berasa bangga kerana hasil usaha anda mendatangkan hasil. Semua impian saya telah menjadi kenyataan.

"Pengiktirafan ini saya terima daripada rakan-rakan, jurulatih, wartawan dan peminat dari serata dunia, ini yang paling penting.

"Gelaran tidak ternilai, ini adalah hasil daripada usaha yang anda buat setiap hari, tetapi pengiktirafan yang saya terima ini adalah sesuatu yang istimewa dan saya berterima kasih kepada semua orang yang berada di belakang dan menyokong saya," ujarnya.