Marta dinobatkan Pemain Wanita Terbaik Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sementara kejayaan Lyon dalam Liga Juara-Juara (UCL) Wanita juga mendapat pengiktirafan.

Seiring dengan dominasi Real Madrid dalam saingan lelaki, Lyon -- juara Perancis sebanyak 16 kali -- meraih kemenangan UCL ketiga berturut-turut untuk menjadi pasukan wanita pertama melakukannya.

Bagaimanapun, bintang Brazil, Marta, yang sering diangkat sebagai pemain wanita terbaik sepanjang zaman dengan melakar 15 gol dalam Piala Dunia, mengetepikan pasangan Lyon, Ada Hegerberg, yang merekodkan 15 gol dalam kejayaan UCL serta Dzsenifer Marozsan.

Lyon menerima pengiktirafan menerusi Anugerah Jurulatih Wanita Terbaik yang menyaksikan Reynald Pedros -- bekas pemain antarabangsa Perancis -- mengatasi saingan dari Jepun, Asako Takakura, dan Sarina Wiegman dari Belanda.