Pertahanan negara, Syahmi Safari, mengakui kejayaan memenangi Anugerah Gol Terbaik Piala AFF 2018 adalah hasil kerjasama berpasukan yang turut dianggap sebagai motivasi terbaik untuk mengharungi kempen pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Syahmi mencetuskan sensasi apabila dinobat sebagai pemenang Anugerah Gol Terbaik dalam Majlis Anugerah Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) di Hanoi, Vietnam, malam tadi.

Lebih manis, tonggak Selangor itu turut terpilih dalam kesebelasan terbaik kejohanan di samping dua lagi pemain negara, Syamer Kutty Abba dan Norshahrul Idlan Talaha.

"Syukur dan Alhamdulillah atas pengiktirafan gol tersebut. Ia terjadi atas kerjasama sepasukan.

"Jadi, ia bukan untuk diri sendiri sahaja, sebaliknya buat seluruh pasukan.

"Saya anggap ini rezeki buat pasukan juga," katanya di Palace Of The Golden Horses, Seri Kembangan, pagi tadi.

Jaringan pemain berumur 21 tahun itu dibuat menerusi satu gerakan berpasukan ketika bertemu Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok, 5 Disember tahun lalu.

Keunikan gol Syahmi itu terhasil menerusi tujuh hantaran yang melibatkan tujuh pemain, bermula daripada penjaga gol, Farizal Marlias, sebelum disudahkan pemain berkenaan.

Pengiktirafan tersebut turut mengubat kekecewaannya setelah jaringannya gagal berada dalam senarai akhir Anugerah Puskas, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).