Bekas presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, mengesahkan menerima pencalonan untuk bertanding jawatan presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2018–2021 dalam Kongres FAM Ke-54 pada 14 Julai depan.

Annuar menerusi media sosial berkata perwakilan Kongres FAM patut diberi pilihan bagi memilih calon terbaik untuk menerajui badan bola sepak itu dalam suasana penuh semangat kesukanan.

“Saya berasakan para pewakilan Kongres FAM Julai nanti wajar diberikan peluang memilih di antara alternatif yang berbagai-bagai dan berbeza secara bebas dan terbuka tetapi dalam suasana penuh semangat kesukanan.

“Sudah lama bola sepak negara tercari-cari dan ternanti satu sentuhan yang benar-benar mengangkat bola sepak Malaysia ke satu tahap baharu.

“Sesuai dengan semangat itu, saya mengesahkan telah membuat keputusan untuk menerima pencalonan bagi jawatan presiden FAM,” katanya.

Dengan keputusan itu, Annuar bakal mencabar calon pilihan, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, dalam pertarungan satu lawan lawan bagi jawatan presiden.

Untuk rekod, seorang lagi calon, iaitu Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, mengumumkan keputusan untuk menolak pencalonan bertanding jawatan tersebut, kelmarin.