Tan Sri Annuar Musa membidas reaksi Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan ( KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan, yang menggesa kepimpinan terdahulu menyelesaikan segala hutang lama yang ditinggalkan demi menyelamatkan bola sepak negeri itu.

Bagi Annuar, sebagai seorang calon yang bertanding merebut jawatan presiden, sepatutnya Bibi Ramjani sedar akan risiko yang bakal dihadapi selepas diberi mandat oleh kongres pemilihan KAFA, setahun lalu.

"Kalau nak suruh pengurusan lama bayar hutang, jangan ambil alih persatuan itu. Sistem mana yang diguna pakai kalau hanya mahu aset tetapi tidak mahu ambil liabiliti?

"Ini sistem jenis apa? Hutang KAFA bukan hutang peribadi dan sesiapa sahaja yang mengambil alih seharusnya tahu apa itu aset dan apa itu liabiliti? Takkan benda senang macam ini pun buat-buat tak faham," katanya.

Annuar, yang pernah memimpin KAFA lebih 10 tahun juga menjelaskan perkara yang sama (isu hutang) turut dialaminya semasa baru mengambil alih persatuan dan menanggung segala hutang yang ditinggalkan pentadbiran terdahulu.

“Sewaktu kami ambil alih KAFA pada 2008, mereka (pengurusan lama) turut tinggalkan hutang. Kami tidak pernah menyuruh mereka membayar, sebaliknya cari jalan untuk mengatasinya.

"Mana ada persatuan yang bila diambil, hanya mahu asetnya sahaja tetapi tidak liabilitinya."

Drama sindir-menyindir kedua-dua tokoh ini bermula apabila Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh mencadangkan individu yang tidak mampu mentadbir KAFA supaya berundur dengan segera.

Bibi Ramjani membalas dengan menyifatkan pengurusan KAFA di bawahnya berjaya membayar hutang yang ditinggalkan pengurusan lama serta memperoleh lesen layak beraksi dalam Liga Malaysia musim ini.