Annuar calon terbaik presiden FAM, kata Nokman

Oleh Staff Writer 12 Jun 2018 4762
Annuar calon terbaik presiden FAM, kata Nokman
Setiausaha Agung, Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa, menganggap kredibiliti yang dimiliki bekas presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, lebih layak jika dibandingkan dengan seorang lagi calon presiden, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Apa yang dimaksudkan Nokman merujuk kepada idea dan pelan yang tergendala sebaik Annuar digantung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 2012.

Ketika itu, Annuar yang merupakan timbalan presiden FAM sudah memiliki perancangan teliti dalam usaha untuk mengubah wajah sukan bola sepak negara.

Katanya, ini adalah masa yang paling sesuai buat Annuar untuk menyambung semula perancangan yang tergendala sejak enam tahun lalu selain menegaskan beliau mampu mengendalikan FAM tanpa mengikut telunjuk mana-mana pihak.

"Tan Sri Annuar pada ketika itu digantung. Jadi, dalam tempoh dua, tiga tahun dia tidak boleh meneruskan perancangannya. 

"Kalaulah setiap perwakilan memikirkan cara yang bagus untuk bola sepak negara, saya rasa Tan Sri Annuar yang terbaik," ujarnya.

Mungkin ada pertambahan manifesto daripada Annuar, namun kerja-kerja melobi hanya akan dilakukan selepas Khamis ini.

"Kalau mengikut perjumpaan saya dengan Tan Sri Annuar, memang dia ada banyak perkara yang mahu dilakukan dalam bola sepak, sama ada dia dapat atau tidak (jawatan presiden) kita tidak tahu.

"Banyak perkara yang dia mahu ubah. Kita serahkan kepada perwakilan nanti," katanya lagi. 

Annuar telah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tetap dengan pendirian untuk bertanding jawatan presiden menentang Hamidin bulan depan.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen