Pemain sayap Indonesia, Andik Vermansah, terpaksa melupakan seketika ikatan persaudaraan di atas padang apabila berdepan skuad Harimau Malaya dalam aksi pertama kumpulan G, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Kelibat Andik mencuri tumpuan untuk pertemuan antara dua musuh tradisi, Indonesia menentang Malaysia di Stadium Gelora Bung Karno, malam ini.

Apa tidaknya, Malaysia ibarat 'rumah kedua' pemain kelahiran Jember itu selepas beraksi dalam kancah Liga Malaysia selama lima tahun.

Malah, pemain Madura United itu cukup akrab dengan hampir semua pemain negara, terutama pemain daripada bekas pasukannya, Selangor dan Kedah.

Namun, Andik terpaksa melupakan keakaraban yang pernah terjalin apabila turun ke perlawanan getir itu nanti sebagai musuh di atas padang.

"Ramai penyokong dari Malaysia menghubungi saya untuk bertanyakan khabar selepas tidak lagi beraksi di sana," kata Andik.

"Mereka juga mengucapkan semoga maju jaya bersama skuad Indonesia tetapi mahukan Malaysia meraih kemenangan."

Sememangnya, pengalaman Andik menjadi taruhan jurulatihnya, Simon McMenemy, bagi menghadapi Malaysia dalam aksi pertama kumpulan G itu.

Selain Andik, skuad Garuda juga mempunyai tiga lagi pemain yang berpengalaman dalam Liga Malaysia, iaitu Saddil Ramdani, Evan Dimas dan Ferdinand Sinaga.