Pengendali Sweden, Janne Andersson, mendedahkan pasukannya tidak bergembira walaupun melihat juara Piala Dunia 2014, Jerman, melalui kegagalan dalam saingan di Russia 2018.

Toni Kroos menjaringkan gol dalam waktu kecederaan untuk memberikan kemenangan dramatik 2-1 Jerman ke atas Sweden dalam aksi peringkat kumpulan di Sochi sehingga membuatkan kem juara bertahan itu meraikannya di depan bangku simpanan lawan dan mencetuskan suasana tegang.

Bagaimanapun, Sweden dilihat lebih gembira selepas itu apabila menundukkan Mexico 3-0 dalam aksi terakhir, sekali gus mengesahkan tempat ke pusingan kedua tatkala Jerman dikejutkan oleh Korea Selatan 2-0 dan mengakhiri saingan di tangga tercorot Kumpulan F.

"Saya rasa Jerman agak malang sehingga tersingkir daripada kejohanan," kata Andersson.

"Bagaimanapun, kami tidak menghiraukan laluan pasukan lain. Kami hanya fokus kepada perlawanan sendiri dan saya sentiasa berpegang kepada prinsip itu.

"Dalam kem Sweden, kami tidak meraikan kegagalan yang ditempuh Jerman atau pasukan lain. Tiada kegembiraan di sebalik kekalahan pihak lain," katanya.

Dalam masa sama, kapten Sweden, Andreas Granqvist, yang menjaringkan gol menerusi sepakan penalti sewaktu bertemu Korea Selatan dan Mexico, turut bersetuju dengan pendapat jurulatihnya itu.

"Kami sangat terkejut apabila Jerman tersingkir," ujar Granqvist.

"Kami sangat menghormati mereka selaku juara bertahan dan Jerman adalah salah satu pasukan pilihan kejohanan.

"Agak malang buat mereka tetapi ia biasa berlaku dalam kejohanan. Sesetengah pasukan besar yang lain turut tersingkir dan bukan Jerman sahaja yang melaluinya.

"Sweden langsung tidak meraikan kegagalan itu. Kami hanya gembira apabila dapat melayakkan diri ke peringkat seterusnya," tambahnya.