Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, berkata perkara terhebat ketika pasukannya menentang Barcelona adalah mereka tidak akan menjadi pasukan pilihan.

Kelab Merseyside itu sedang berusaha untuk mara ke final buat kali kedua berturut-turut dalam Liga Juara-Juara Eropah, namun perlu mencongak perhitungan dengan kelab Catalan itu dalam separuh akhir.

Klopp tidak sabar untuk berdepan pendahulu LaLiga itu buat kali pertama dalam kariernya walaupun sudah beberapa kali bertemu Real Madrid dan Bayern Munich sebelum ini.

"Saya sudah banyak kali menentang Real Madrid, namun tidak pernah bertemu Barcelona," katanya kepada DAZN.

"Kami mahu melihat apa yang mungkin terjadi.

"Perkara terhebat tentang Barcelona adalah anda tidak akan diletakkan sebagai pasukan pilihan.

"Untuk berdepan dengan peranan itu, mungkin kami perlu melakukan perkara berbeza berbanding pasukan lain.

"Itu yang diperlukan walaupun saya masih belum memikirkan dengan lebih mendalam tentangnya.

"Kami pernah berkunjung ke Barcelona sewaktu Krismas lalu untuk menentang (Borussia) Gladbach.

"Namun, untuk melihatnya sebagai stadium dan bukannya tempat suci adalah perkara utama," katanya.

Liverpool dan Tottenham Hotspur melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara manakala Chelsea dan Arsenal pula merupakan empat pasukan terbaik dalam Liga Europa.

Klopp berasakan bola sepak di England sedang melalui zaman keemasan.

"Secara umumnya, beberapa kelab besar sedang melakukan perubahan.

"Real Madrid menjual Cristiano (Ronaldo), Bayern juga sedang melakukan rombakan pasukan.

"Ia akan dilalui kelab-kelab lain pada masa akan datang.

"Di England, empat pasukan teratas mempunyai struktur usia yang baik.

"Dan sudah pasti terdapat beberapa sebab lain mengapa ramai pemain terbaik berada di England.

"Bola sepak di England amat bagus, termasuk pasukan kebangsaan mereka.

"Enam pasukan teratas masih amat bagus, namun ia tidak pernah menjamin apa-apa pada masa depan," tambahnya.