Carlo Ancelotti mahu kekal bersama Napoli untuk tempoh dua tahun lagi walaupun wujud spekulasi mengaitkannya ke Juventus.

Pengendali dari Itali itu muncul sebagai calon untuk menggantikan Massimiliano Allegri di Juve walaupun bekas pengurus AC Milan dan Real Madrid itu gagal selaku jurulatih di Turin pada 1999 sehingga 2001.

Bagaimanapun, dia telah mengemudi Napoli berada di tangga kedua liga dalam musim sulung bersama kelab itu dan mahu kekal bersama pasukan yang telah ditandatangani selama tiga tahun itu pada Mei tahun lalu.

"Saya mempunyai klausa pada 30 Mei dan diharapkan Napoli menggunakannya," katanya.

"Saya terikat bersama kelab dan mahu kekal untuk dua tahun lagi. Saya gembira di sini.

"Jurulatih sentiasa menjadi individu terakhir untuk mengetahui semua perkara. Mereka sentiasa hidup dalam keraguan. Saya tahu pemecatan adalah sebahagian daripada tugas.

"Pengalaman membuktikannya bahawa hanya keputusan diambil kira, jadi perancangan menjadi sukar. Saya bergelut lebih teruk sewaktu dipecat Juve tetapi kemudian dapat membiasakan diri."

Napoli membenam Inter Milan 4-1 semalam, sekali gus menjarakkan diri daripada dua slot terakhir ke Liga Juara-Juara Eropah.

Walaupun mereka menuju minggu terakhir musim ini dengan ketinggalan 11 mata di belakang juara Serie A, Juventus, Ancelotti melahirkan rasa bangga dengan prestasi pasukannya di sepanjang musim.

"Mereka sangat jujur dan profesional di dalam kumpulan. Tiada apa yang perlu kami mainkan dalam beberapa aksi terakhir," tambah Ancelotti.

"Pasukan ini telah memberikan isyarat hebat sepanjang musim. Kami kehilangan sentuhan serta sedikit kualiti di pertengahan musim tetapi meraihnya semula di penghujung saingan.

"Saya tidak akan menuding kepada sesiapa untuk meningkatkan pasukan tetapi kami perlu meletakkan lebih tekanan dalam serangan walaupun ia mungkin memberi risiko di bahagian bawah.

"Kami perlu meningkatkan kepantasan. Berbaloi untuk mencubanya dan kami melakukannya dengan baik ketika bertemu Inter."