BAYERN MUNICH 2 WOLFSBURG 2

Pengurus Bayern Munich, Carlo Ancelotti, mengkritik aksi anak buahnya selepas gagal mengekalkan pendahuluan dua gol apabila diikat seri 2-2 oleh Wolfsburg dalam aksi Bundesliga di Allianz Arena, semalam.


Bayern mendahului 1-0 pada minit ke-33 menerusi sepakan penalti Robert Lewandowski selepas penyerang Poland itu dijatuhkan oleh Marcel Tisserand, sebelum Arjen Robben menambah gol kedua menerusi sepakan kaki kiri dari luar petak penalti tiga minit sebelum tamat babak pertama.

Bagaimanapun, ketiadaan penjaga gol utama, Manuel Neuer, begitu dirasai apabila penggantinya, Sven Ulreich, gagal menampan kemas sepakan percuma Maximilian Arnold pada minit ke-56 dan pelawat berjaya mengikat kedudukan 2-2 sehingga tamat permainan menerusi tandukan Daniel Didavi pada minit ke-83.

Kebangkitan Wolfsburg itu menimbulkan rasa kurang senang Ancelotti terhadap aksi longlai anak-anak buahnya dalam separuh masa kedua.

"Kami tidak bermain seperti yang dirancang. Permainan yang terlalu perlahan, tanpa disiplin dan tidak teratur.

"Pemain-pemain tidak mengawal perlawanan seperti kebiasaannya sehingga menyebabkan lawan berjaya bangkit. Ulreich melakukan kesilapan tetapi keputusan perlawanan adalah disebabkan oleh aksi longlai keseluruhan pasukan," katanya.

Bagi pengendali Wolfsburg yang baru menggantikan Andries Jonker, Martin Schmidt, dia amat berpuas hati dengan persembahan anak didiknya selepas mengendalikan pasukan untuk perlawanan kedua.

"Jika anda ketinggalan 0-2 di tangan Bayern dan berjaya mengikat kedudukan, anda akan pulang dengan senang hati.

"Mata yang diraih, persembahan, kemahuan serta mentaliti yang ditunjukkan dalam babak kedua adalah hasil daripada kerja keras Jonker," katanya.