Nordin Amrabat mendakwa pengadil, Mark Geiger, mendambakan jersi pemain pertahanan Portugal, Pepe, selepas Maghribi tersingkir dalam Piala Dunia Russia.

Cristiano Ronaldo menjaringkan gol tunggal ketika Portugal menang 1-0 di Moscow untuk menguasai puncak Kumpulan B biarpun wakil dari Afrika Utara itu memiliki deretan peluang dalam babak kedua.

Amrabat, yang telah dipinjamkan ke Leganes dari Watford pada 2018, berasa jengkel dengan gelagat pegawai perlawanan itu.

"Saya tidak tahu kaedah yang digunakannya, namun dia sangat mengagumi Cristiano Ronaldo. Saya sempat terdengar perbualan Pepe bahawa pengadil itu sempat bertanyakan sama ada dia boleh mendapatkan jersi daripadanya dalam babak pertama," katanya kepada saluran televisyen Belanda, NOS.

"Ini adalah Piala Dunia, ini bukannya sarkas."

Amrabat dalam keraguan untuk menghadapi Portugal berikutan kecederaan kepala yang menimpanya dalam kekalahan 0-1 kepada Iran, namun tetap berkeras untuk diturunkan malam tadi.

"Ia sangat panas, peluh mencurah manakala 'topi keledar' ini terasa ketat," katanya.

"Dari saat pertama sehingga ke saat saya bangkit di hospital, saya tetap mahu beraksi. Saya berasa sihat walaupun agak keletihan berbanding kebiasaannya.

"Kini masa untuk berehat, pulih dan menamatkan kempen Piala Dunia dengan cara yang baik."

Perlawanan terakhir Maghribi dalam Piala Dunia di Russia ialah menentang Sepanyol pada Isnin depan.