Penolong jurulatih skuad bolasepak negara, Aminuddin Hussin, menganggap ia satu penghormatan besar buat dirinya apabila diberi peluang berada dalam barisan kejurulatihan selepas pernah hampir dua dekad berkhidmat dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Aminuddin diumumkan sebagai penolong jurulatih skuad Harimau Malaya yang baru bersama seorang lagi jurulatih, S. Balachandran, oleh FAM, Khamis lalu.

Pelantikan Aminuddin yang juga bekas jurulatih Kuantan FA mencuri tumpuan susulan beliau sudah membimbing semua pasukan peringkat umur di FAM sejak 1996.

Ironinya, Aminuddin kembali ke pangkuan badan induk itu selepas disisihkan daripada barisan kejurulatihan skuad B-23 negara, April tahun lalu.

"Saya pernah mengendalikan skuad B-12 sehingga ke tahap B-23. Kini saya akan menggalas jawatan sebagai pembantu jurulatih.

"Saya berasakan perjalanan saya dalam karier kejurulatihan lengkap, ia penghormatan yang besar," kata Aminuddin yang pernah bekerjasama dengan jurulatih dari Jerman, Frank Bernhardt, sebelum ini.

Aminuddin dan Balachandaran mengikat kontrak dengan FAM hingga tamat saingan Piala Suzuki Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF), Disember depan dengan pilihan untuk dilanjutkan kontrak berlandaskan prestasi skuad bimbingan Tan Cheng Hoe itu.

"Kami berasakan kami mampu menyediakan sebuah pasukan terbaik dengan kerjasama pemain-pemain kerana saya mengenali ramai pemain muda.

"Saya yakin hubungan itu masih ada dan dapat diterjemahkan di dalam padang," ujarnya lagi.