Ketua jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri, memuji penampilan sulung Leonardo Spinazzola ketika meraih kemenangan 2-0 dalam saingan Coppa Italia ke atas Bologna, semalam.

Pertahanan kiri, Spinazzola, kembali ke Juve pada musim 2018-19 selepas dipinjamkan ke kelab lain sebelum ini.

Spinazzola telah bersama Atalanta sejak dua musim lalu dan mempamerkan aksi yang menyerlah dan kelab mengambil keputusan untuk membawanya semula ke dalam skuad utama dan menawarkan persaingan untuk Alex Sandro.

Pemain berusia 25 tahun itu mengalami masalah kecederaan sebelum ini apabila menjalani pembedahan lutut Oktober lalu.

Kemenangan ke atas Bologna merupakan aksi pertamanya buat Juve dan Allegri mengagumi usaha yang ditampilkan pemain tersebut.

"Dia telah mengharungi perlawanan dengan cemerlang," kata Allegri.

"Ia merupakan penampilan sulungnya sejak kembali bersama pasukan. Spinazzola merupakan pemain yang penting buat Juventus."