Massimiliano Allegri gembira menyaksikan Paulo Dybala menamatkan kemarau jaringan dalam saingan Serie A ketika membantu pasukan meraih kemenangan ke atas Frosinone.

Penyerang Argentina itu melepaskan rembatan dari luar kotak penalti pada minit keenam di Stadium Allianz sebelum Leonardo Bonucci dan Cristiano Ronaldo melengkapkan kemenangan Juve.

Ia merupakan gol pertama Dybala sejak tewas 3-1 kepada Cagliari, 3 November lalu, dan yang kelapan dalam semua kejohanan.

Allegri, bagaimanapun, menganggap persembahan keseluruhan pemain berusia 25 tahun itu amat penting buat Juventus walaupun kurang meledak jaringan gol.

"Saya sangat gembira dengan Dybala. Dia menjaringkan gol yang cantik," kata Allegri.

"Kami memerlukan pemain yang memiliki kualiti seperti Dybala. Dia mampu merancang gerakan di antara dua penyerang Juventus (Ronaldo dan Mario Mandzukic).

"Ia mungkin mengehadkan peluangnya untuk menjaringkan gol tetapi kehadirannya memberikan impak besar kepada pasukan," katanya.

Juve kini mendahului carta Serie A dengan kelebihan 14 mata ke atas Napoli dan bakal bertandang ke Sepanyol untuk aksi Liga Juara-Juara (UCL) berdepan Atletico Madrid.

Allegri berharap mereka mampu meraih jaringan di tempat lawan di Wanda Metropolitano jika mahu melangkah ke suku akhir.

"Pasukan sedang berkembang secara fizikal. Kami bergelut pada permulaan separuh masa kedua tetapi sudah bersedia berdepan Atletico."