Toby Alderweireld telah diberitahu oleh pengendali Belgium, Roberto Martinez, bahawa dia perlu lebih banyak beraksi bersama Tottenham Hotspur untuk mencerahkan peluang dipilih ke Piala Dunia 2018.

Alderweireld tidak beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris sejak Oktober lalu susulan masalah kecederaan dan kali terakhir berada dalam kesebelasan utama ketika bertemu Rochdale lebih sebulan lalu, namun tetap beraksi selama 90 minit ketika Belgium menundukkan Arab Saudi 4-0, kelmarin.

Martinez ketika ini tampak mempunyai pilihan yang kukuh di benteng tengah pasukannya, termasuk kehadiran rakan sepasukan Alderweireld di Spurs, Jan Vertonghen, serta kapten Manchester City, Vincent Kompany.

Situasi itu membuatkan Martinez terpaksa memberi amaran agar Alderweireld akan berusaha keras untuk kembali meraih waktu permainan yang lebih kerap dalam baki saingan musim in, atau dia mungkin terlepas peluang ke Russia.

“Setiap pemain harus mendapatkan peluang bermain secara kerap ketika ini. Tujuh minggu adalah tempoh yang singkat,” kata Martinez.

“Waktu permainan bagi sesetengah pemain yang sudah beraksi dalam banyak perlawanan mungkin tidak begitu penting tetapi untuk mana-mana antara mereka yang jarang meraih peluang itu seperti Alderweireld, ia sangat mustahak,” ujarnya.

Bagaimanapun, bekas pengendali Wigan Athletic itu berpuas hati dengan penampilan Alderweireld ketika menentang Arab Saudi.

“Apa yang anda boleh lihat pada Alderweireld adalah corak semulajadi yang ada pada dirinya, sering memintas hantaran di sekelilingnya.

“Saya melihatnya sangat bagus ketika sesi latihan dan sangat kuat dalam 15 minit terakhir permainan.

“Dia menamatkan 90 minit dalam keadaan yang baik,” tambahnya.