Pertahanan Napoli, Raul Albiol, tidak sabar untuk bekerjasama dengan Carlo Ancelotti dan memuji "mentaliti kemenangan" yang dimiliki ketua jurulatih itu.

Pemenang tiga kali Liga Juara-Juara (UCL) itu tiba di Naples menjelang pembukaan musim baru, menggantikan Maurizio Sarri yang dijangka mengambil alih salah satu bekas kelab Ancelotti, Chelsea.

Selepas empat hari pertama dalam sesi latihan pra-musim, Albiol kagum dengan kebolehan yang dimiliki Ancelotti.

"Ancelotti adalah jurulatih yang mahukan kemenangan dan beliau berkongsi banyak pengalaman dan idea kepada pasukan.

"Kami bekerjasama dengan salah seorang pakar taktikal terbaik dunia dan ia merupakan peluang untuk kami -- mengikut perancangannya dan menyesuaikan diri dengan gaya permainan beliau.

"Kami mahu memastikan setiap perancangannya dapat dilaksanakan dan kami sudah bersedia untuk menghadapi musim baru," katanya.