Jordi Alba berharap Sepanyol dapat mempamerkan prestasi benteng yang lebih utuh bagi mengimbangi jentera serangan pasukan bimbingan Fernando Hierro itu yang menyasarkan tempat di peringkat kalah mati Piala Dunia Russia apabila berdepan Maghrib, Selasa ini.

Juara 2010 itu bergelut untuk menang 1-0 ke atas Iran yang gemar bertahan di Kazan, Rabu lalu, selepas diikat 3-3 oleh pendahulu Kumpulan B, Portugal, dalam aksi pembukaan.

Cristiano Ronaldo mencetak nama selaku penjaring hatrik di Sochi meskipun Sepanyol mendominasi permainan dalam tempoh yang lama dan sebaik Iran dibolosi, mereka mengambil langkah berani mengatur serangan sehingga mencetuskan cemas kepada kem Sepanyol, termasuk jaringan penyamaan yang dibatalkan kerana ofsaid.

"Saya fikir kami mengawal permainan (ketika menentang Iran) tetapi kami hampir mengundang bahaya apabila mereka mendapatkan gol yang dibatalkan serta melepaskan peluang di hujung pintu gol," kata Alba kepada Marca.

"Sehubungan itu, saya dapat memahami mengapa banyak keraguan timbul mengenai kemampuan kami.

"Secara jujurnya, kami tidak melihatnya seperti itu di dalam bilik persalinan. Bagaimanapun, kami menghormati semua pendapat."

Anehnya, Alba mendakwa Iran terbukti lawan yang lebih sukar berbanding Portugal yang diilhamkan oleh Ronaldo.

"Portugal mengasak kami tiga kali: penalti yang diragui, kekasaran yang dimanfaatkan Cristiano dan kesilapan (David de Gea)," tambahnya.

"Kami lebih hebat daripada Portugal dan kami lebih berhak daripada mereka tetapi ini adalah Piala Dunia.

"Orang mungkin menganggap Iran tidak berada di tahap tinggi tetapi mereka lebih merumitkan tugas kami daripada Portugal.

"Kami mempunyai empat mata, ia merupakan perkara terpenting yang perlu kami hadapi. Anda sentiasa perlu membetulkan perkara tertentu tetapi ini adalah Piala Dunia dan kami melihat apa yang berlaku setiap hari, dalam hampir setiap perlawanan."

Maghribi akan turun mempertahankan maruah mereka dan anak buah Herve Renard itu mempunyai banyak sebab untuk berasa terkilan tersingkir awal, apatah lagi setelah mencipta peluang yang mencukupi dalam setiap kekalahan 0-1 -- gagal menyudahkan peluang.

"Kami sedar telah tersingkir tetapi kami akan cuba mengekalkan semangat juang kami demi penyokong. Bukan sahaja di sini, malah di seluruh dunia," kata pertahanan Real Madrid, Achraf Hakimi, kepada pemberita.

"Kami akan cuba melakukan yang terbaik dan membawa kegembiraan kepada peminat."

PEMAIN TUMPUAN

Sepanyol: Diego Costa


Ekoran mimpi ngeri dalam kempen edisi 2014 dan Euro 2016. penyerang utama pasukan, Costa, akhirnya mengukuhkan statusnya untuk mengetuai jentera serangan La Roja dengan menyumbat tiga gol dalam dua perlawanan di Russia setakat ini.

Maghribi: Ayoub El Kaabi

Penyerang berpengalaman ini sedang menikmati perkembangan pesat dari liga bawahan Maghribi dalam beberapa tahun kebelakangan ini. El Kaabi mempunyai satu peluang lagi untuk memperlihatkan kemampuan sebenar selepas diberi peluang dalam kesebelasan utama dan selaku pemain gantian.