Penyerang Arab Saudi, Mohammad Al-Sahlawi, dilaporkan bakal melalui proses persiapan menjelang Piala Dunia dengan menjalani latihan bersama Manchester United.

Pemain berusia 31 tahun itu menjaringkan 26 gol dalam 33 penampilan buat negaranya yang bakal memulakan saingan Piala Dunia 2018 menentang tuan rumah, Russia, dalam perlawanan pembukaan.

Persediaan skuad kendalian Juan Antonio Pizzi itu tampak diberi tamparan hebat selepas dibelasah Sepanyol 4-0 kelmarin tetapi pengerusi General Sports Authority (GSA) Arab Saudi, Turki Al-Sheikh, mendedahkan melalui Twitter semalam bahawa Al-Sahlawi akan menjalani satu proses bersama sebuah kelab dalam masa tiga minggu.

“Persetujuan telah dicapai bersama Manchester United bahawa Mohammed Al-Sahlawi akan menyertai program latihan mereka selama tiga minggu. Semoga dia dipermudahkan urusan,” kata kenyataan Turki di laman Twitter.

Bagaimanapun, wujud laporan di Arab Saudi bahawa United tidak berhasrat untuk cuba mendapatkan khidmat Al-Sahlawi sebelum penyerang itu dikritik kerana penurunan prestasi ketika bertemu Sepanyol akibat daripada pengumuman itu.

Pada awal musim ini, pentadbiran telah diperkenalkan susulan kerjasama yang dipersetujui di antara pihak GSA dan United, di mana pemenang 20 kali Liga Perdana Inggeris itu akan membantu Arab Saudi dalam membangunkan bola sepak bagi mencapai “Wawasan 2030”.

“Hubungan ini adalah sebahagian daripada langkah yang kami ambil untuk mengubah hala tuju sukan di Arab Saudi,” ujar Turki kepada laman web rasmi GSA.