PSG 3 MONACO 1

Presiden Paris Saint-Germain (PSG), Nasser Al-Khelaifi, menegaskan bahawa juara Perancis itu tidak mengambil mudah terhadap kejayaan domestik selepas kejayaan mengekalkan mahkota Ligue 1.


Selepas mengesahkan kejuaraan berikutan Lille seri tanpa jaringan di Toulouse, PSG menjulang trofi keenam mereka dalam musim ketujuh sejurus mengalahkan Monaco 3-1, awal pagi tadi.

Hatrik Kylian Mbappe mengetuai PSG untuk melengkapkan kejayaan dua trofi musim ini selepas menjulang Trophee des Champions manakala perlawanan akhir Coupe de France dengan Rennes akan berlangsung 27 April ini.

Biarpun PSG perlu menunggu lebih lama lagi untuk meraih gelaran Eropah selepas terkandas kepada Manchester United dalam pusingan 16, Al-Khelaifi gembira dengan kejayaan berturut-turut tersebut.

"Kami sentiasa memiliki rasa bahagia dan bangga yang sama apabila kami memenangi gelaran berprestij seperti Ligue 1," kata Al-Khelaifi.

"Ligue 1 merupakan saingan liga utama di sebuah negara yang berada di puncak bola sepak dunia pada musim panas lalu. Itu sudah cukup untuk membuktikan betapa pentingnya buat kami memenangi gelaran ini.

"Saya mengucapkan tahniah dan rasa bangga saya terhadap pemain, jurulatih, kakitangan dan keseluruhan skuad PSG yang bekerja dengan gigih untuk membantu kelab ini berkembang.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong atas kesetiaan dan kesungguhan mereka yang tidak dapat ditandingi. Keghairahan mereka terhadap kelab ini merupakan trofi paling indah."