Landskap bola sepak amatur tempatan terus rancak dengan aksi Liga Amatur Terengganu (TAL) dan Liga Juara-Juara Selangor (SCL) All Stars di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TAL, Muhammad Zainuddin Solahudin, berkata perlawanan itu merupakan inisiatif terbaru dalam memartabatkan bola sepak amatur.

Menurutnya, selain menjadi kesinambungan usahasama erat yang dimeterai, awal bulan lalu, aksi TAL dan SCL All Stars bakal menampilkan barisan terbaik, sekaligus menjanjikan pertemuan sengit.

“Ini perlawanan bersejarah kerana pertama kali diadakan. TAL dan SCL akan meneruskan usaha memastikan pemain-pemain muda tidak tercicir dalam menonjolkan bakat mereka,” katanya.

Bagi Ketua Pegawai Operasi Komuniti Belia Selangor (SYC), Dr Johan Kamal Hamidon, langkah itu diharapkan memberi inspirasi kepada negeri-negeri lain turut sama mengembangkan liga komuniti.

Selain itu ujarnya, peluang beraksi di hadapan ribuan penonton di Stadium Shah Alam pasti menyuntik semangat pemain untuk mengejar impian bergelar pemain profesional.

“Sejak SCL diilhamkan Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah, dua tahun lalu, kami sentiasa agresif dalam meningkatkan penglibatan belia.

“SCL dan TAL akan terus bersama-sama mengetengahkan potensi liga amatur,” tambahnya lagi.