"Ditunda?", itu situasi terdekat menjelang kelayakan Piala Dunia 2022-Piala Asia 2023 di antara Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Malaysia yang mungkin ditunda ekoran wabak koronavirus yang semakin meruncing.

Ia keputusan terbaik atas dasar Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang mengutamakan keselamatan dan kesihatan pemain dan pasukan ketika ini.

Namun sebarang keputusan rasmi perlu melewati perbincangan khusus dengan pihak Persatuan Bolasepak Dunia (FIFA) di mana setiap perlawanan yang ditunda perlu diganti juga pada tarikh yang ada dalam kalendar FIFA.

"Kami sudah mula melakukan perbincangan dengan pihak FIFA untuk membuat perancangan jika mahu meneruskan perlawanan ataupun ditunda," kata Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul yang ditembual oleh wartawan Nadi Arena, Fina Nasrom.

Difahamkan satu perbincangan akan berlangsung minggu depan untuk menentukan keputusan terbaik dari FIFA, AFC dan FAM berhadapan isu wabak yang turut dikenali sebagai covid-19.

"Kami memiliki banyak pilihan dan sedang berbincang dengan pihak FIFA mengenai kelayakan Piala Dunia-Piala Asia."

Beberapa mekanisma sudah dikenal pasti untuk memutuskan status perlawanan yang telah dijadualkan dan tidak mustahil ia akan melibatkan penundaan untuk jalan terakhir.