Perlawanan persahabatan antarabangsa kelas A di antara Malaysia dan Hong Kong di Stadium Hong Kong pada 15 Oktober depan, berdepan risiko dibatalkan ekoran protes antikerajaan yang berlarutan di wilayah berkenaan sejak Jun lalu.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, berkata keputusan sama ada perlawanan itu dibatalkan atau sebaliknya akan dibuat berdasarkan kepada persetujuan bersama di antara FAM dan badan induk bola sepak Hong Kong yang meletakkan isu keselamatan sebagai perkara penting.

Bagaimanapun, Stuart tidak menolak kemungkinan aksi berkenaan akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil sekiranya Hong Kong bersetuju.

“Setakat ini tiada ‘red flag’ atau ‘risiko tinggi’ untuk pasukan negara kerana mereka (Hong Kong) tidak berdepan isu keselamatan bola sepak dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia di sana baru-baru ini.

"Tetapi situasi ini boleh berubah bila-bila masa sahaja dan FAM bersama Persatuan Bola Sepak Hong Kong amat peka mengenainya.

“Dalam perjanjian bersama mereka, kami dah setuju untuk membatalkan aksi tersebut jika keadaan tidak membenarkan dan pilihan lain adalah mengadakan perlawanan di Malaysia dengan persetujuan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di Akademi Bola Sepak Merah Kuning di Shah Alam, hari ini.

Protes yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu itu kerana membantah pindaan baharu dalam rang undang-undang ekstradisi kerajaan, yang jika diluluskan, akan membenarkan pelarian dipindah ke kawasan di mana Hong Kong tidak mempunyai bidang kuasa atau mencapai sebarang persetujuan.

Penunjuk perasaan menuntut kerajaan agar menarik balik pindaan tersebut, namun tuntutan itu tidak dilayan pihak pemerintah.

Dalam pada itu, perlawanan berdepan Hong Kong merupakan aksi penutup bulan Oktober buat skuad kendalian ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe, dalam usaha memperbaiki ranking pasukan negara yang kini menghuni kedudukan ke-158 dunia.

Sebelum itu, pasukan negara akan berdepan Sri Lanka dalam satu lagi aksi antarabangsa kelas A di gelanggang sendiri pada 5 Oktober ini sebelum membuat perhitungan menentang Vietnam dalam aksi ketiga Kumpulan G, pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, lima hari kemudian.

-- BERNAMA