Dua perlawanan persahabatan di Filipina minggu ini akan menjadi ujian terakhir penting buat Sabah sebelum memulakan cabaran Liga Perdana menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) II di Stadium Likas, 2 Februari ini.

Skuad kendalian Jelius Ating itu akan berlepas ke Manila esok dan akan bertemu Stalion FC di Stadium Binan, Laguna pada keesokan harinya, seterusnya menentang Kaya FC di Pusat Latihan Negara Persekutuan Bola Sepak Filipina (PFF), Carmona Cavite pada Khamis (24 Januari).

Dua lawan Sang Badak itu adalah pasukan profesional Liga Bola Sepak Filipina (PFL) di mana Stalion FC adalah penghuni tangga keempat manakala Kaya FC naib juara musim lalu.

"Oleh kerana ini sahaja perlawanan pemanas badan kompetitif yang kami ada dalam persiapan musim ini, ia amat penting dimanfaatkan sepenuhnya untuk dijadikan panduan menghadapi pertandingan sebenar tidak lama lagi.

"Tidak kiralah apa keputusan dalam dua perlawanan ini, yang penting saya dapat melihat keadaan dan tahap sebenar pasukan, termasuk apa lagi yang diperlukan untuk kami tambah baik apabila balik nanti," kata ketua jurulatih, Jelius, ketika dihubungi hari ini.

Jelius berkata seramai 19 pemain disenaraikan untuk aksi di Filipina itu, termasuk calon import dari Korea Selatan, Park Taesu, yang bermain di posisi pertahanan.

Pemain lain yang disenaraikan ialah Rozaimie Rohim, Robson Rendy Rining, Mohd Azizan Nordin, Justin Samaan, Rawilson Batuil, Ummareng Bacok, Ricco Nigel Milus, Jenius Karib, Dendy Lowa, Mafry Balang, Randy Baruh Samson, Maxsius Musa, Sabri Sahar, Evan Wensley Wenceslaus, Mohd Azwan Abd Fattah, Rahman Shah Marajeh, Melky Balang dan Elias Sulaiman.

Sabah masih ada tiga kekosongan kuota import selepas hanya mengekalkan satu penyerang import, Rodoljub Paunovic, daripada skuad musim lalu. Paunovic, bagaimanapun, tidak disenaraikan ke Filipina kerana mengalami sedikit kecederaan.

Pendaftaran pemain import, bagaimanapun, hanya akan ditutup pada 20 Februari.

Sementara itu, Jelius berkata persiapan singkat juga menyukarkan Sabah mencari pemain import yang benar-benar menepati keperluan pasukan.

"Syukurlah majoriti pemain kami musim ini juga adalah pemain daripada skuad musim lalu. Ini meringankan sedikit beban dalam membuat persiapan," katanya.