Pemain tengah negara, Mohd Akhyar Rashid, menyahut cabaran jurulatih, Tan Cheng Hoe, untuk merebut kesebelasan utama menjelang tugasan bersama skuad Harimau Malaya selepas ini.

Menurutnya, dia kini bersedia untuk menjadi pemain utama dan bukan lagi sebagai pemain yang bermula di bangku simpanan.

Dia mengetepikan keraguan itu sejurus aksi kedua kelayakan Piala Dunia Qatar 2022/Piala Asia China 2023 bertemu Timor Leste di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin yang menyaksikan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu menjadi taruhan utama.

Ternyata ia bukan ujian yang gagal buat Akhyar dan kelibatnya benar-benar mencetuskan impak.

"Cheng Hoe sering menasihati saya supaya mendapatkan rehat yang secukupnya dan tingkatkan kecergasan ketika bersama kelab," katanya.

Dalam masa sama, pengendali itu juga tampak sudah mula mempertimbangkan Akhyar sebagai percaturan utamanya.

Dengan tiada lagi isu kecederaan membelenggu pemain lincah tersebut, maka peluangnya untuk mengisi slot utama sepatutnya berlaku lebih awal.

"Akhyar bermain dengan agak baik.

"Dia tidak boleh fikir akan terus diturunkan sebagai pemain gantian, dia perlu memikirkan soal menjadi tonggak masa depan negara.

"Keyakinannya akan bertambah sekiranya dia kerap mendapat minit permainan dan sudah tentu dia akan belajar dalam satu demi satu perlawanan," kata jurulatih itu.