Pemain tengah negara, Akhyar Rashid, dan rakan sepasukan, Gerald Gadit, berlepas pulang ke Malaysia selepas terpaksa menjalani pemeriksaan lanjut ke atas kecederaan bahu yang dialaminya ketika aksi Kejohanan AFF Bawah 19 Tahun.

Tepat jam 7.45 pagi waktu tempatan, Akhyar meninggalkan perkarangan hotel di Surabaya, Indonesia bersama Gerald Gadit yang turut mengalami kecederaan.

Tiada lagi kelibat kedua-dua pemain itu untuk membantu skuad B-19 negara walaupun kemaraan Malaysia ke separuh akhir amat dinantikan semua penyokong tanah air.

Akhyar hanya berharap rakan sepasukan dapat meneruskan perjuangan walaupun dia bersama Gerald tidak bersama pasukan ketika ini.

"Mungkin rezeki saya cuma sampai di sini. Apabila pulang nanti, saya akan meneruskan rawatan susulan," kata Akhyar.

"Tentu saya sedih kerana mengalami kecederaan dalam perlawanan pertama. Diharapkan selepas pulang, saya cepat pulih," tambah Gerald.

Malaysia muncul juara Kumpulan B selepas menumpaskan Myanmar 1-0 dan menjarakkan kutipan mata yang sebelum ini terikat dengan tujuh mata selepas gol tunggal dijaringkan oleh Shivan Pillay Asokan.