Hajat Kelantan United FC untuk menggunakan khidmat bekas kapten The Red Warriors (TRW), Mohd Badhri Radzi atau Piya, akhirnya tercapai apabila majikan lamanya, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), telah meluluskan Sijil Perpindahan Negeri (SPN) buatnya, tengah hari tadi.

Berita gembira itu dimakluman oleh Presiden Kelantan United FC (KUFC), Datuk Che Abdullah Mat Nawi, sekali gus mengakhiri penantian bekas pemain tengah kebangsaan itu untuk beraksi bersama kelab barunya.

"Alhamdulillah, saya ingin maklumkan kepada anda (media), pihak kami (KUFC) telah menerima SPN Piya tengah hari tadi.

"Saya ucapkan terima kasih kepada KAFA di atas kerjasama yang diberikan.

"Keputusan ini amat bermakna buat kami dalam mengharungi baki saingan Liga M3 musim ini," katanya.

Che Abdullah, yang juga Ahli Parlimen Tumpat, memberitahu kehadiran Piya mampu mengukuhkan lagi skuad bimbingan Zahasmi Ismail itu dalam usaha mencipta sejarah layak ke saingan Liga Perdana, musim depan.

"Saya amat berharap Piya dapat membimbing pemain muda yang ada dalam skuad ini untuk kekal fokus dalam mengharungi baki saingan Liga M3 yang semakin mencabar," katanya.

Terdahulu, Piya, yang pernah memenangi Anugerah Pemain Paling Bernilai (MPV) dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2013, meluahkan rasa kesalnya dengan sikap KAFA yang hanya mahu meluluskan SPN jika dia tidak menuntut tunggakan gaji dua bulan musim ini.

Untuk rekod, kelibat Piya terpaksa disisihkan dalam aksi Kelantan United menentang DDM FC, Ahad lalu kerana tidak mendapat SPN daripada KAFA.

Bagaimanapun, Kelantan United beraksi cemerlang menumpaskan pelawat 3-0 untuk melonjak ke tangga kedua Liga M3 di belakang Kuching FA.