Pencarian bakat muda Kem Bolasepak Remaja Allianz (AJFC) bakal bermula bulan depan di enam daerah berbeza di seluruh Malaysia dengan dua peserta bertuah bakal diterbangkan ke Jerman bagi mengikuti pengalaman sekali seumur hidup bersama pasukan Bayern Munich.

Allianz, yang merupakan penaja platinum kelab bola sepak gergasi, Bayern Munich, mula menganjurkan AJFC sejak tahun 2009.

Kali ini, mereka kembali dengan misi mencari dua remaja yang berpotensi besar dalam sukan bola sepak untuk dihantar ke Munich bagi menimba pengalaman berharga itu.

Untuk pemilihan 2019, Allianz akan meningkatkan tahap kesukaran format pemilihan, namun ia dianggap cara terbaik dalam membentuk pemain bola sepak profesional masa depan dengan pemilihan akan dilakukan di enam zon di seluruh negara.

Bekas jurulatih Melaka, E. Elavarasan, akan mengetuai barisan juri Liga AJFC dalam pemilihan peserta terbaik untuk mengambil bahagian dalam kem itu.

"Untuk AJFC tahun ini, kami mahu memberikan peluang kepada semua pemain muda menguji kebolehan mereka yang boleh diketengahkan," kata Elavarasan.

"Format ini berbentuk pertandingan, bermula daripada peringkat awal hingga akhir, bagi memastikan dua pemain terbaik akan dipilih untuk ke Jerman," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Allianz Malaysia Berhad, Zakri Khir.