Peserta Kem Explorer Allianz Antarabangsa 2019, Adam Alif Mustapa dan Muhammad Firdaus, mahu memanfaatkan peluang menjalani latihan di Munich, Jerman sebagai inspirasi untuk membarisi skuad negara.

Kem Explorer Allianz Antarabangsa membuka tirai dengan penyertaan seramai 50 peserta dari 22 negara serata dunia.

Kem itu telah memasuki edisi ke-11 dan peserta dijanjikan pengalaman berharga, termasuk mempelajari kemahiran dan taktikal bersama barisan kejurulatihan remaja Bayern Munich, sekali gus ia memberikan dua peserta Malaysia itu inspirasi membarisi skuad negara.

"Ia merupakan impian saya menyarung jersi skuad negara satu hari nanti. Pengalaman yang bakal diraih di Munich ini akan digunakan dengan sebaik mungkin untuk meningkatkan mutu persembahan saya," kata Adam.

Tambah Firdaus, "Saya akan berusaha untuk melakukan dengan lebih baik lagi berbanding di Singapura. Saya mahu membuktikan kemampuan saya kepada barisan kejurulatihan skuad remaja Bayern."

Aktiviti hari pertama menyaksikan sesi suai kenal dijalankan untuk mereka memupuk keserasian menghadapi kesemua program yang bakal berlangsung selama seminggu sehingga Selasa ini.