Sepuluh remaja yang terpilih menyertai Kem Bolasepak Remaja Allianz (AJFC) Asia menamatkan sesi latihan hari ini sebelum meneruskan perjuangan dalam perlawanan di Bangkok, Thailand.

Setelah menjalani empat sesi latihan selama dua hari, iaitu dua jam pada sebelah pagi dan dua jam pada sebelah petang, pelbagai reaksi ditampilkan peserta-peserta Malaysia di AJFC.

"Banyak ilmu yang dipelajari dalam sesi latihan ini bagi meningkatkan mutu permainan kami," kata peserta AJFC, Daniel Phoon Chun Tuck.

"Walaupun jurulatih memberikan arahan dalam bahasa Thailand, jurubahasa membantu kami memahami apa yang diperlukan dalam sesi latihan," kata peserta AJFC, Muhammad Adam Nazmi Zamri.

Daripada 57 peserta yang terlibat, hanya dua kuota dari Malaysia akan terpilih untuk menjalani latihan jangka pendek AJFC di Jerman bulan depan.

Ini sudahpun masuk musim ketujuh AJFC Malaysia dan sudah pasti inisiatif sebegini membuka lebih banyak ruang dan peluang bagi mereka yang berbakat besar untuk menampilkan kebolehan mereka serta penting bagi pembangunan bola sepak, terutama dalam menentukan hala tuju masa depan sukan negara.