JUVENTUS 1 AJAX 2 (Ajax menang 3-2 secara agregat)

Penjaring gol kemenangan, Matthijs de Ligt, menegaskan perjuangan Ajax masih jauh daripada penghujung selepas menjadikan Juventus sebagai mangsa terbaru mereka dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.


Tandukan bintang muda, De Ligt, pada minit ke-67 menyempurnakan kebangkitan Ajax daripada ketinggalan satu jaringan untuk menang 2-1 di Stadium Allianz bagi merakamkan kemenangan agregat 3-2 dalam suku akhir.

Cristiano Ronaldo terlebih dahulu meletakkan tuan rumah di depan sebelum Donny van de Beek mengetuai kebangkitan Ajax yang mempamerkan aksi mantap, sekali gus menjadikan juara Serie A itu dalam senarai skuad gergasi yang tumbang di tangan mereka, termasuk Real Madrid dalam pusingan terdahulu.

Melangkah ke separuh akhir buat kali pertama sejak 1997, Ajax akan berdepan Tottenham atau Manchester City untuk merebut slot ke final.

"Ajax masih belum puas. Perlawanan seterusnya bakal menjadi penting," kata kapten Ajax, De Ligt.

"Sukar untuk menggambarkan emosi kami. Skuad dari Belanda kini menunjukkan kepada dunia apa kami mampu lakukan.

"Kami melakukannya berdepan Bayern Munich, Real Madrid dan kini ke atas Juventus.

"Ajax memiliki potensi, kami memiliki skuad muda dan semua telah melihat apa yang kami mampu lakukan.

"Ajax mampu menjaringkan lebih lagi tetapi ini merupakan kemenangan yang penting buat pasukan."

Ajax telah muncul juara Eropah sebanyak empat kali, dengan kali terakhir melakukannya pada 1995.