Pertahanan negara, Aidil Zafuan Abdul Radzak, mempertahankan aksi barisan serangan pasukannya apabila enggan menjadikan ketumpulan penyudah sebagai punca kegagalan mereka meraih mata berdepan Vietnam di tempat lawan, malam tadi.

Skuad negara mempertaruhkan trio Norshahrul Idlan Talaha, Mohamadou Sumareh dan Safawi Rasid di bahagian serangan sambil Syafiq Ahmad bertindak selaku pemain tengah menyerang, namun tetap mengundang kekecewaan.

Ia susulan kegagalan mereka untuk meraih jaringan, ditambah tiada satu pun percubaan tepat dapat dilakukan ketika bertemu Vietnam.

Malangnya, situasi itu berlaku ketika pertahanan negara sudah bertungkus-lumus mengekang asakan lawan walaupun dibolosi satu gol.

"Saya tidak akan menyalahkan sesiapa dalam pasukan. Saya rasa mungkin mereka sudah cuba yang terbaik. Saya tahu setiap pemain tetap mencuba. Sampai satu tahap, ia tidak seperti dirancang," kata Aidil.

Jentera serangan negara tampak hilang punca walaupun menguasai perlawanan seketika di Stadium My Dinh, Hanoi itu.

Menyerlahkan keampuhan benteng akhir skuad Naga Emas, Syafiq -- penyumbang jaringan Harimau Malaya dalam dua perlawanan terdahulu menentang Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) -- mengakui persembahan barisan depan negara serba tidak menjadi.

"Memang sukar untuk kami masuk ke dalam kotak penalti lawan. Memang saya bergelut dan jelas sekali usaha berlipat ganda perlu dilakukan selepas ini jika berdepan pasukan sebegini," kata Syafiq.

"Vietnam sangat ampuh ketika bertahan, ia menyebabkan kami tidak dapat masuk melalui kawasan tengah," tambah pemain tengah Malaysia, Halim Saari.