Hasrat peminat bola sepak tanah air untuk menyaksikan kelibat Afiq Fazail dalam aksi persahabatan antarabangsa menentang Tajikistan mungkin tidak kesampaian apabila pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT) itu dijangka tidak beraksi kerana komitmen peribadi.

Difahamkan, Afiq diberi pelepasan kerana mempunyai urusan peribadi yang tidak dapat dielakkan.

Ini selepas pemain berusia 25 tahun itu tidak kelihatan ketika sesi latihan rasmi skuad negara semalam selepas bersama dengan pasukan tersebut sejak Selasa lalu.

Afiq akan kembali menyertai kem skuad negara esok untuk menghadapi kelayakan Piala Dunia/Piala Asia bertemu Thailand dan Indonesia, 14 dan 19 September ini.

Enggan mengulas mengenai perkara itu, fokus pengendali skuad negara, Tan Cheng Hoe, kini terarah untuk aksi berdepan Tajikistan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

"Saya akan memberikan peluang kepada pemain yang masih belum beraksi sebelum ini. Kami mahu mendapatkan kemenangan sebagai motivasi sebelum menghadapi Thailand dan Indonesia," katanya.

Pengendali berusia 51 tahun itu mengakui pendekatan taktikal menerusi serangan balas akan dipertaruhkan berdepan lawan di ranking ke-116 dunia itu.

Ia adalah untuk memastikan Harimau Malaya mampu menghadirkan keputusan positif sebelum bertemu Thailand, Khamis ini.

"Kami telah menganalisa corak permainan lawan. Mereka mampu menghadirkan corak permainan yang pantas dan kerap menembusi pertahanan menerusi sayap kiri. Kami juga akan memastikan bagaimana pasukan akan berusaha untuk melancarkan serangan balas dalam usaha mendapatkan jaringan."