Afiq tetap dalam perancangan Cheng Hoe

Oleh Staff Writer 10 November 2019 3168
Afiq tetap dalam perancangan Cheng Hoe
Ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, tampak memberi keistimewaan kepada Afiq Fazail apabila mengesahkan pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT) itu tetap akan disenaraikan dalam skuad akhir 23 pemain walaupun tidak diuji ketika menentang Tajikistan semalam.

Hasrat peminat bola sepak tanah air untuk menyaksikan kelibat Afiq bersama skuad kebangsaan dalam aksi persahabatan menentang Tajikistan tidak kesampaian.

Pemain berusia 25 tahun itu tidak diturunkan selepas diberi pelepasan untuk melangsungkan perkahwinannya semalam.

Namun, Afiq selaku muka baru tetap berada dalam misi negara ke kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 apabila Cheng Hoe percaya 'arkitek' JDT itu mampu menawarkan kelainan buat Harimau Malaya.

"Kami perlu menghormati keputusan Afiq, namun dia masih lagi kekal dalam perancangan kami. Saya berharap dia segera menyesuaikan diri dalam skuad negara, dalam masa sama ketenangan dalam corak permainannya amat diperlukan," katanya.

Perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam menyaksikan Cheng Hoe menguji kombinasi berbeza di beberapa posisi dalam usahanya mendapatkan formula terbaik untuk menghadapi Thailand, Khamis ini.

Kemenangan skuad negara dibantu jaringan pemain gantian, Safawi Rasid, pada minit ke-72 selepas lawan kehilangan penjaga gol yang dilayangkan kad merah.

"Sudah beberapa perlawanan saya tidak dapat menjaringkan gol untuk skuad kebangsaan. Saya berterima kasih di atas usaha rakan sepasukan membantu saya dalam menamatkan kemarau jaringan ini," kata Pemain Terbaik Final Piala Malaysia itu.

"Saya amat bersyukur kerana dapat beraksi selama 90 minit bersama skuad kebangsaan. Saya cuba melakukan yang terbaik dan mengakui terdapat ruang yang harus diperbaiki menjelang perlawanan akan datang," kata pemain tengah skuad negara, Syamer Kutty Abba.

"Agak janggal menyaksikan Baddrol Bakhtiar dan Nor Azam Azih, yang mempunyai corak permainan yang sama bergandingan di bahagian tengah.

"Kemasukan Brendan Gan dalam separuh masa kedua menyaksikan Nor Azam menggalas tugas yang dilakukan Baddrol," ulas pemerhati bola sepak negara, Asmawi Bakiri, mengenai perlawanan itu.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen